Umat Islam Sudah Nafsi-Nafsi


Ke mana sahaja kita pergi terasa sepi

Sekalipun di tempat ramai

Ke mana sahaja kita berada, kita rasa macam berdagang di negeri orang

Padahal di negeri sendiri

Kerana tidak ada siapa yang ingin bertanya, berkenal dan bermesra

Lebih-lebih lagi tidak akan ada sesiapa

Yang mengajak ke rumah sebagai tetamunya

Tegur sapa sesama umat Islam terlalu kurang

Memberi salam jarang sangat berlaku

Kalau kita orang yang baru datang di satu tempat

Dia pandang kita, kita pandang dia

Namun tegur sapa ingin tahu sudah jarang terjadi

Hanya pandang-memandang, namun ingin berkenal jauh sekali

Umat Islam hari ini masing-masing satu sama lain curiga-mencurigai

Kerana itulah kemesraan sudah tidak ada lagi

Ingin berkenal satu sama lain sudah tidak perlu

Betapalah untuk mendapat kawan, jauh panggang dari api

Aduh, sepinya dunia ini

Walaupun di dalam hiruk-pikuk manusia

Sekalipun di tengah ramai

Tapi umat Islam sudah hidup nafsi-nafsi

Masing-masing menjaga diri

Satu sama lain tidak percaya-mempercayai

Sungguh rasa asing sekali ke mana kita pergi

Sungguh rasa sepi di mana sahaja kita berada

Di negeri sendiri terasa macam berdagang di negeri orang

Sekarang ini seolah-olahnya kita musafir sepanjang masa

Kerana orang tidak ingin hendak berkenal dengan kita

oleh : Abuya Ashaari Muhammad at Tamimi